Saturday, 6 February 2016

Apa Ada Dengan Lahad Datu...

Aku dan suatu masa. Di Lahad datu...

17 Januari 2016.

Dari Klia 2 aku berlepas. Tiba di Lapangan Terbang Sandakan dan kemudiannya aku terus ke Lahad Datu.


Lahad Datu.

Sebenarnya telah lama aku dioffer untuk terlibat dengan projek di sini. Tapi dek kesibukan dengan projek-projek sedia ada aku membiarkan dulu projek ini berlalu. Sehingga suatu hari kawan aku kembali memanggil aku untuk terlibat sama. Memikirkan kelapangan waktu sementara aku menunggu perjalanan jauh ku, aku bersetuju. Bagi aku mungkin ini kali pertama dan terakhir peluang aku ke Sabah dan mengenali setiap selok-belok negerinya.


Sejujurnya aku punya dua orang kawan yang menetap di Lahad Datu. Dari cerita yang disampaikan aku membayangkan ia cuma sebuah pekan kecil. Namun ternyata ia berbeza. Aku akhirnya melihat sendiri kepesatan pembangunan yang ada kawasannya tidak jauh berbeza dengan tanah semenanjung. Jalan-jalannya juga tidaklah seteruk disangka. Malah jujur pada aku Lahad Datu jauh lebih maju dari Pekan bandar kelahiran Perdana Menteri.


Lahad Datu merupakan sebuah bandar di pesisir laut Celebes atau Sulu. Ia merupakan bandar ke-4 terbesar di Sabah. Mempunyai rangkaian kedai dan juga terdapat pasaraya. Giant Supermarket juga bakal di buka. Mempunyai 11 cawangan bank. Semuanya ada. Mungkin yang tiada cumalah pawagam dan pusat bowling. Bagi seorang yang bukan mengejar hiburan aku boleh menerima kewujudan bandar ini seadanya.


Malam di sini juga hidup. Cuma masanya agak kekok buat yang pertama kali datang dari semenanjung. Di sini jam lebih awal 1 jam. Di sebelah pagi aku masuk ofis jam 10. Tapi cuaca dah sangat terang-benderang. Manakala jam 8 malam kedai di pasaraya sudah mula menutup tirai kerana keadaan sudah seperti jam 9 di semenanjung. Tapi suasana malam masih boleh dinikmati kerana kedai-kedai makan masih beroperasi malah ada yang dibuka 24 jam.


Jika sebelum ini Lahad Datu sinonim dengan kisah pemberontakan dan pertempuran bersenjata pejuang sulu, penculikan dan militan di selatan Filipina, tetapi bagi aku keadaan jauh lebih tenang dari yang selalu dibayangkan media. Malah penduduk di sini ternyata lebih ramai, menghormati orang lain dan lebih mudah memberi senyuman. Aku terkadang cuma tersenyum bila tidak faham sesetengah perkataan yang dimaksudkan mereka.

Secara amnya dari sudut kaca mata aku... Lahad Datu ini sebuah bandar yang agak rilek, sentiasa penuh dengan manusia yang pelbagai ragam dan bangsa. Ia dekat di hati aku kerana ianya terletak di pinggir lautan. Kerana di mana ada lautan... di situ hati aku bersemadi.

Catatan ini cuma sebahagian kisah supaya aku tidak lupa aku pernah di sini.

P.A
Selagi penaku masih menulis....
06 February 2016.
Lahad Datu with Love...

No comments:

Post a Comment