Thursday, 3 March 2016

Aku dan Sabah Part 2. Lahad Datu, Menara Kayangan dan Gunung Silam.

Lahad Datu. Menara Kayangan dan Mendaki Gunung Silam.
___________________________________________________________

Throwback.
18 feb 2016.

Kali ni mungkin aku menulis lebih panjang. Kalau ada yang rajin mau membacanya, silakanlah. Ini blog saja-saja bikin suka-suka hati bukan bapak gua yang punya. Kisah kali ni tentang Lahad Datu dan tempat yang boleh di lawati di sekitar daerah ini.


Menara Kayangan atau 'Tower of Heaven' terletak di Gunung Silam. Jaraknya cuma sekitar 10Km  dari bandar Lahad Datu. Berada di ketinggian 620 meter dari paras laut, Menara Kayangan merupakan sebuah menara tinjau yang dibina untuk pelancongan menikmati pemandangan indah dari atas Gunung Silam. Ketinggian menara ini setinggi 108 kaki. Kita kena panjat tangga untuk naik ke atas. Tak lah berapa tinggi sangat pun. Kalau tak larat nak naik sebab sakit lutut, di bawah itu pun ada pelantar yang dibina untuk menikmati pemandangan yang sangat cantik.



Di atas pelantar mahupun menara, kita boleh melihat pemandangan bandar Lahad Datu, kawasan gunung dan perkampungan sekitarnya serta yang paling indah kita boleh nampak laut dan gugusan pulau-pulau yang sangat memukau. Dengan udara yang nyaman cuaca yang sejuk dan berkabus, aku sangat tenang berada di atas puncak ini. Best dan sangat best bagi orang yang tahu menikmati alam sekeliling. Suasana di sini senyap dan sunyi sebab pengunjung selalunya tidak terlalu ramai. Tapi jangan bimbang sebab ada pengawal keselamatan dan pekerja telekomunikasi yang sering datang kerana stesen mereka mempunyai pencawang di sini.


Di atas kawasan ini juga telah disediakan kemudahan tandas serta restoran yang diberi nama Restoren Kayangan. Tetapi restoren ini tidak beroperasi barangkali sebab permintaan tidak terlalu ramai dan menguntungkan.

Mendaki Gunung Silam.


Dari Menara Kayangan aku terus saja mengambil trail untuk mendaki hingga ke puncak gunung. Ketinggian Gunung Silam yang sebenar adalah 883meter. Itu bermakna aku cuma perlu mendaki selebihnya 251 meter lagi. Jangan disangka mudah kerana kita perlu mendaki mengikut laluan atau trail yang telah disediakan. Ada 2 trail yang dibina. Ada yang mudah dan yang satu lagi lebih susah. Aku mendaki bertiga. Pada mulanya aku merancang untuk mendaki di trail yang sukar tetapi disebabkan aku tak jumpa jalan masuk maka aku ikut saja trail yang disediakan.


Trail ini mula-mula saja cantik dan mudah. Panjang trail lebih kurang 2.5 km. Hanya sekitar 500 meter saja yang disediakan trail berserta laluan bersimen. Selebihnya aku perlu naik bukit meredah hutan, pokok, akar banir serta lembah berduri. Tapi cuaca yang nyaman dan sejuk berkabus tidaklah memenatkan sangat. Cuma yang bagus tiada nyamuk dan agas yang selalunya akan mengganggu pendaki serta pengembara hutan. Tiada pacat pun kalau ada mungkin la mereka tak sempat singgah di kasut kami. Aku cuba juga mencari sesuatu yang dapat aku abadikan gambarnya. Tak banyak kecuali ada satu gambar ular daun. Cubalah perhati kalau perasan di mana ia berlingkar.


Sesekali melihat suasana sekeliling yang lembab berlumut serta penuh dengan juraian pokok tak ubah seperti dalam filem 'Lord of The Ring'. Aku terus mendaki. Hinggalah ke suatu puncak yang mana aku sendiri hampir kecewa sebab tak nampak tanda puncak gunung pun. Namun kami buat keputusan untuk terus mendaki sehingga berjumpa dengan satu penanda kemuncak sebagai tanda kami pernah sampai di sana. Hampir 2 jam mendaki akhirnya kami tiba juga di puncak Gunung Silam.


Puas rasanya dapat menawan puncak walaupun ianya tidaklah sehebat mendaki Gunung Kinabalu. Sekadar satu latihan untuk membiasakan badan dengan kembara di hutan. Dari puncak kami dapat melihat gugusan pulau itu dengan lebih jauh. Cuma di sini tidak ada satu pelantar khusus. Aku berdiri di atas satu batu penanda untuk bergambar dan jika berani panjatlah satu tiang pencawang kecil di situ. Damai alam tuhan...


Selepas berehat sambil makan coklat bar dan bergambar, kami mulakan perjalanan turun. Rupanya trail yang susah tu memang ada. Nasib la kami dapat jumpa untuk jalan turun. Ianya lebih dekat tetapi memang lebih mencabar. Yang bagusnya laluan ini ada disediakan tali untuk menyusur naik dan turun walaupun bukan di sepanjang laluan. Cara mudah mengembara dalam hutan cuma perlu mengikut penunjuk arah yang biasanya ditanda dengan penanda plastik belang merah putih. InsyaAllah semuanya akan selamat. Perjalanan turun cuma mengambil masa sekitar 45 minit.


Akhirnya Puncak Gunung Silam dan Menara Kayangan sudah aku tawan. Masih ada tempat menarik yang boleh kita lawati di daerah Lahad Datu iaitu Lembah Danum dan Hutan Simpan Tabin...

Next... Kita sambung lagi berjalan :)

Lenguh kaki itu biasa saja bah.

—kembara alam.

Aku dan Sabah Part 1. Sandakan di suatu petang.

Sandakan.
__________

Throwback.
1 feb 2016.

Kali ni aku diajak ke Sandakan. Tujuan sebenar bukan untuk berjalan pun. Aku diminta oleh kawan untuk menghantar dia ke Sandakan Airport untuk balik ke semenanjung. Aku yang memang nak berjalan tengok tempat orang ni pantas saja bersetuju. Sesudah kawan aku naik flight jam 3.30 petang bukan pm, aku terus bergerak mengikut papan tanda jalan menghala arah pusat bandar Sandakan.

Sesampai aku di satu kawasan yang menghadap ke laut aku pun berhenti. Kulihat banyak rumah-rumah dibina di atas air. Aku turun untuk merasai sendiri pengalaman menjejak kaki ke perkampungan air yang selama ini hanya dapat kulihat di kaca tv atau di akhbar sahaja. Kampung ini kalau tak silap aku dinamakan sebagai perkampungan air Sim-sim.



Rumah di sini dibina dengan menggunakan papan. Tetapi jalan perhubungan di antara satu rumah ke rumah yang lain telah dibina dengan jalan atau jambatan konkrit. Ada sebahagian kawasan telah dijadikan sebagai resort chalet dan ada juga restoran makanan laut. Memang best kalau dapat makan seafood di atas permukaan laut yang terbentang luas. Heaven... Cuma kehadiran aku sedikit mengundang rasa pelik di kalangan penduduk setempat. Mungkin diorang perasan aku orang luar dengan gaya yang agak berbeza mungkin.


Selepas tu aku teruskan perjalanan menuju ke pusat bandar. Dekat saja hanya beberapa minit sebab Sim-sim itu berada betul-betul di tepi pinggir bandar. Masuk ke pusat bandar Sandakan aku sengaja meronda untuk melihat suasana kehidupan di sini. Tidaklah jauh beza. Bandarnya hidup, ramai orang walau terdiri dari pelbagai jenis bangsa yang aku tak dapat bezakan identiti. Aku parking kereta dan berjalan bermula dari Pasar Besar Sandakan, kemudian aku mula menjelajah setiap ceruk.



Di sini ada saja shopping complex, pasaraya dan rangkaian kedai yang pada aku setaraf dengan bandar di semenanjung. Aku sempat singgah di pasar jualan bundle, esplanade dan gerai makan menghadap laut serta dataran jalan tempat anak muda berkumpul sambil cari perhatian dengan bermain skatesboard. Aku cuba mencari kedai yang menjual beg kerana aku nak beli backpack yang lebih sesuai untuk travel. Namun tiada kedai yang menawarkan beg seperti yang aku cari. Kalau ada pun memang yang betul-betul cokia lokal. Brand saja North Face, Deuter tapi design keras macam beg sekolah.


Tapi pemandangan di sini sangat cantik dan santai. Aku abadikan sedikit pic yang aku ambil sebagai kenangan dan imbasan memori aku untuk suatu masa nanti. Bukti yang dulu aku pernah sampai ke bumi ini. :)

Saturday, 6 February 2016

Apa Ada Dengan Lahad Datu...

Aku dan suatu masa. Di Lahad datu...

17 Januari 2016.

Dari Klia 2 aku berlepas. Tiba di Lapangan Terbang Sandakan dan kemudiannya aku terus ke Lahad Datu.


Lahad Datu.

Sebenarnya telah lama aku dioffer untuk terlibat dengan projek di sini. Tapi dek kesibukan dengan projek-projek sedia ada aku membiarkan dulu projek ini berlalu. Sehingga suatu hari kawan aku kembali memanggil aku untuk terlibat sama. Memikirkan kelapangan waktu sementara aku menunggu perjalanan jauh ku, aku bersetuju. Bagi aku mungkin ini kali pertama dan terakhir peluang aku ke Sabah dan mengenali setiap selok-belok negerinya.


Sejujurnya aku punya dua orang kawan yang menetap di Lahad Datu. Dari cerita yang disampaikan aku membayangkan ia cuma sebuah pekan kecil. Namun ternyata ia berbeza. Aku akhirnya melihat sendiri kepesatan pembangunan yang ada kawasannya tidak jauh berbeza dengan tanah semenanjung. Jalan-jalannya juga tidaklah seteruk disangka. Malah jujur pada aku Lahad Datu jauh lebih maju dari Pekan bandar kelahiran Perdana Menteri.


Lahad Datu merupakan sebuah bandar di pesisir laut Celebes atau Sulu. Ia merupakan bandar ke-4 terbesar di Sabah. Mempunyai rangkaian kedai dan juga terdapat pasaraya. Giant Supermarket juga bakal di buka. Mempunyai 11 cawangan bank. Semuanya ada. Mungkin yang tiada cumalah pawagam dan pusat bowling. Bagi seorang yang bukan mengejar hiburan aku boleh menerima kewujudan bandar ini seadanya.


Malam di sini juga hidup. Cuma masanya agak kekok buat yang pertama kali datang dari semenanjung. Di sini jam lebih awal 1 jam. Di sebelah pagi aku masuk ofis jam 10. Tapi cuaca dah sangat terang-benderang. Manakala jam 8 malam kedai di pasaraya sudah mula menutup tirai kerana keadaan sudah seperti jam 9 di semenanjung. Tapi suasana malam masih boleh dinikmati kerana kedai-kedai makan masih beroperasi malah ada yang dibuka 24 jam.


Jika sebelum ini Lahad Datu sinonim dengan kisah pemberontakan dan pertempuran bersenjata pejuang sulu, penculikan dan militan di selatan Filipina, tetapi bagi aku keadaan jauh lebih tenang dari yang selalu dibayangkan media. Malah penduduk di sini ternyata lebih ramai, menghormati orang lain dan lebih mudah memberi senyuman. Aku terkadang cuma tersenyum bila tidak faham sesetengah perkataan yang dimaksudkan mereka.

Secara amnya dari sudut kaca mata aku... Lahad Datu ini sebuah bandar yang agak rilek, sentiasa penuh dengan manusia yang pelbagai ragam dan bangsa. Ia dekat di hati aku kerana ianya terletak di pinggir lautan. Kerana di mana ada lautan... di situ hati aku bersemadi.

Catatan ini cuma sebahagian kisah supaya aku tidak lupa aku pernah di sini.

P.A
Selagi penaku masih menulis....
06 February 2016.
Lahad Datu with Love...

Wednesday, 27 January 2016

Flying Without Wings.

#Throwback 03.

17 January 2016.

Ku bawa hati jauh ke Negeri Bawah Bayu.

Setelah berkali-kali aku dipujuk. Akhirnya aku mengalah. Sebenarnya bukan ada pihak yang rugi pun dengan keputusan ku ini. Cuma dulu aku masih ada projek lain, belum bersedia dan juga ada seseorang yang meminta aku agar tidak pergi. Kini tahun baru yang serba berbeza. Kerana itu jugalah aku membuat keputusan untuk pergi sementara cuma. Selepas ini aku akan melangkah lebih jauh. Anggap sahaja ini misi pemanas badan bagi aku.

Lahad Datu, Sabah. Destinasi aku.


Berbekalkan tiket flight AirAsia yang disponsor, aku terbang di awanan biru. Memang tiada yang mengganggu. Sepanjang penerbangan yang kelihatan cumalah kepulan awan, lautan biru yang terbentang dan kadangkala terlihat pulau-pulau. Timbul rasa dalam hatiku, suatu hari aku ingin menjelajah seluruh pulau ini. Tiba-tiba stewardess memanggil aku. Meminta aku menyemak boarding pass kerana katanya aku telah memesan pre-order breakfast. Aku mana lah tau. Rupa-rupanya bos aku dah arrange makanan siap-siap. Memang cukup bodek dah ni. Haha...


Berlepas jam 6.25 am. Aku akhirnya tiba jam 9.05 am di Sandakan Airport. Tepat-tepat macam announcement si abam pilot. Di sana kawan aku yang datang ambil untuk bergerak ke Lahad Datu. Ini kali pertama aku menjejak kaki ke bumi Borneo. Alang-alang sudah sampai di Sandakan, aku dibawa melihat meronda di sekitar bandar. Ternyata suasana tidaklah seasing yang aku sangka. Bandarnya ternyata masih hidup walau agak berbeza caranya.


Usai bersarapan merangkap lunch, aku bergerak menuju ke Lahad Datu. Melalui jalan dan daerah Kinabatangan mengingatkan aku pada ahli parlimen paling popular suatu ketika dahulu. Merentas kawasan pedalaman bukanlah suatu pemandangan asing dengan hutan belantara. Cuma ianya tidaklah seteruk yang aku bayangkan. Jalan dan pemandangannya tidak jauh seperti kebanyakan pedalaman di semenanjung juga.



Hampir 3 jam perjalanan dengan agak santai, aku akhirnya menjejakkan kaki ke bumi Lahad Datu. Suatu nama yang agak menggerunkan kerana ianya membabitkan pelbagai isu perbalahan, pemberontakan, tembak-menembak dan penculikan. Tapi ternyata keadaan nyata berbeza di sudut pandangan aku. Terkadang kita menyangka ianya sekadar sebuah bandar lama dengan hanya beberapa barisan kedai. Tidak... ternyata salah. Lahad Datu ternyata lebih maju dari Bandar Pekan tempat Perdana Menteri.



Di sini aku berkampung sementara. Aku ada projek yang nak diselesaikan seberapa segera. Projek Perumahan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu. Aku cuba masukkan trailer video. Cubalah. Kalau ada yang berminat boleh bha kau hubungi aku.



Azrulhasli. 012-9523308.

Bole bah kalau kau!

:)

Tuesday, 26 January 2016

Kardio di Bukit Pelindung.

#Throwback 02.

10 January 2016.

Tahun sudah berganti. Maknanya aku sudah semakin tua. Walau di hati aku sentiasa fikir aku masih lagi muda. Tapi ajal itu datang tanpa mengira masa dan usia. Maka hargailah kehidupan yang kita ada dan orang-orang yang kita sayang. Jangan nanti setelah mereka pergi, baru kita menangis kekesalan. Buat cinta hati abam... Abam relakan kamu demi cinta. Asalkan kamu bahagia... huhu.


Sambung balik cerita asal. Kang tak pasal-pasal jadi karangan curhat pulak. Sebenarnya lama jugak aku tak exercise otot-ototku ini. Setelah bermeeting dalam wasapp, aku dan teman seaktiviti aku bersetuju untuk mendaki Bukit Pelindung. Seawal pagi kami singgah dulu di tepi jalan untuk sarapan pagi. Jam 8 pagi barulah kami memulakan pendakian. Sebenarnya pendakian di Bukit Pelindung ni lebih kepada acara berjogging atau santai berjalan kaki kerana ada trek jalan kenderaan bertar.

Tak susah pun. Cuma ada beberapa kawasan yang agak tegak mendaki. Anggaran jarak perjalanan cuma sekitar 4km ke puncak vista. Aktiviti pula boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana suasana yang redup dan nyaman. Biasanya masa yang diambil sekitar 45 minit hingga 1 jam untuk sampai ke atas. Bagi yang pertama kali mendaki pastikan anda naik hingga ke hujung jalan dan meniti jalan kecil ke belakang pencawang. Di situ terletak satu dataran puncak vista untuk menikmati pemandangan Bandar Kuantan.



Setelah merehatkan diri sebentar kami kembali turun dari puncak. Untuk menambahkan cabaran kepada jantung dan otot kami telah melalui denai-denai hutan menelusuri trek yang telah tersedia bagi aktiviti ekstrem. Sambil berlari menuruni setiap cenuram akan membawa kita ke tepian trek pantai di Teluk Chempedak.




Penat memang agak penat. Setiba di TC, bolehlah kita melepaskan lelah sambil menikmati hidangan air kelapa muda dari gerai-gerai yang sedia menanti kunjungan. Cuma adakalanya jangan berharap sangatlah kelapa muda itu akan betul-betul muda. Haha... Dapat rasa manis dan sejuknya ais pun sudah cukuplah untuk bersantai.

Simple saja kan? Hidup saja mudah-mudah. Jangan bikin repot2 bang, nanti kecepatan tuanya :)


Ride to Pekan Town.

#Throwback 01.

25 December 2015.

Suatu petang yang damai dan aku pula sedang menanti. Menanti seorang teman yang berjanji akan datang. Datang untuk mengeteh. Asalnya nak minum-minum borak aje. Tetiba terlintas di kepala otak aku untuk santai ride di petang hari. Memang dah banyak kali kawan aku ni ajak buang masa sambil ambik feel sebelum memulakan ekspidisi bermotosikal dengan jarak yang lebih jauh. 

Bermula dari Jalan Kuantan-Pekan kami terus menuju ke arah Bandar Pekan, sebelum melencongkan arah menuju ke jambatan baru Cherok Paloh.




Kemudian kami meneruskan perjalanan menghala ke Bandar Pekan melalui jalan pantai. Merentas jalan-jalan kampung sambil menikmati pemandangan yang sudah hampir larut senjakala. Kami akhirnya tiba di Pekan dan berhenti di Masjid Abu Bakar untuk solat maghrib. Sesudah itu kami mengambil kesempatan meronda di celahan bandar, singgah di Al-Ikhsan cawangan Pekan. Suasana malam di sini agak tenang. Hanya ada beberapa tempat sebagai hotspot tumpuan orang ramai. 


Salah satunya di Dataran Pekan dan yang kedua di esplanade pinggir sungai. Antara aktiviti biasanya adalah untuk anak-anak kecil bermain roller skate, hoverboard, kereta kecil berwarna merah berbunyi pon pon pon. Malah kami sendiri sempat mencuba hoverboard. 


Dan yang terakhir kami sempat mengeteh sambil menjamu selera pekena laksa di esplanade tepi sungai. Tak pasti apa nama sebenarnya. Menghirup udara malam sambil berbual merancang masa depan. Satu tekad kami, suatu hari blog ini akan tertulis tentang #Ride to Bangkok #Ride to thousand corners!