Thursday, 3 March 2016

Aku dan Sabah Part 2. Lahad Datu, Menara Kayangan dan Gunung Silam.

Lahad Datu. Menara Kayangan dan Mendaki Gunung Silam.
___________________________________________________________

Throwback.
18 feb 2016.

Kali ni mungkin aku menulis lebih panjang. Kalau ada yang rajin mau membacanya, silakanlah. Ini blog saja-saja bikin suka-suka hati bukan bapak gua yang punya. Kisah kali ni tentang Lahad Datu dan tempat yang boleh di lawati di sekitar daerah ini.


Menara Kayangan atau 'Tower of Heaven' terletak di Gunung Silam. Jaraknya cuma sekitar 10Km  dari bandar Lahad Datu. Berada di ketinggian 620 meter dari paras laut, Menara Kayangan merupakan sebuah menara tinjau yang dibina untuk pelancongan menikmati pemandangan indah dari atas Gunung Silam. Ketinggian menara ini setinggi 108 kaki. Kita kena panjat tangga untuk naik ke atas. Tak lah berapa tinggi sangat pun. Kalau tak larat nak naik sebab sakit lutut, di bawah itu pun ada pelantar yang dibina untuk menikmati pemandangan yang sangat cantik.



Di atas pelantar mahupun menara, kita boleh melihat pemandangan bandar Lahad Datu, kawasan gunung dan perkampungan sekitarnya serta yang paling indah kita boleh nampak laut dan gugusan pulau-pulau yang sangat memukau. Dengan udara yang nyaman cuaca yang sejuk dan berkabus, aku sangat tenang berada di atas puncak ini. Best dan sangat best bagi orang yang tahu menikmati alam sekeliling. Suasana di sini senyap dan sunyi sebab pengunjung selalunya tidak terlalu ramai. Tapi jangan bimbang sebab ada pengawal keselamatan dan pekerja telekomunikasi yang sering datang kerana stesen mereka mempunyai pencawang di sini.


Di atas kawasan ini juga telah disediakan kemudahan tandas serta restoran yang diberi nama Restoren Kayangan. Tetapi restoren ini tidak beroperasi barangkali sebab permintaan tidak terlalu ramai dan menguntungkan.

Mendaki Gunung Silam.


Dari Menara Kayangan aku terus saja mengambil trail untuk mendaki hingga ke puncak gunung. Ketinggian Gunung Silam yang sebenar adalah 883meter. Itu bermakna aku cuma perlu mendaki selebihnya 251 meter lagi. Jangan disangka mudah kerana kita perlu mendaki mengikut laluan atau trail yang telah disediakan. Ada 2 trail yang dibina. Ada yang mudah dan yang satu lagi lebih susah. Aku mendaki bertiga. Pada mulanya aku merancang untuk mendaki di trail yang sukar tetapi disebabkan aku tak jumpa jalan masuk maka aku ikut saja trail yang disediakan.


Trail ini mula-mula saja cantik dan mudah. Panjang trail lebih kurang 2.5 km. Hanya sekitar 500 meter saja yang disediakan trail berserta laluan bersimen. Selebihnya aku perlu naik bukit meredah hutan, pokok, akar banir serta lembah berduri. Tapi cuaca yang nyaman dan sejuk berkabus tidaklah memenatkan sangat. Cuma yang bagus tiada nyamuk dan agas yang selalunya akan mengganggu pendaki serta pengembara hutan. Tiada pacat pun kalau ada mungkin la mereka tak sempat singgah di kasut kami. Aku cuba juga mencari sesuatu yang dapat aku abadikan gambarnya. Tak banyak kecuali ada satu gambar ular daun. Cubalah perhati kalau perasan di mana ia berlingkar.


Sesekali melihat suasana sekeliling yang lembab berlumut serta penuh dengan juraian pokok tak ubah seperti dalam filem 'Lord of The Ring'. Aku terus mendaki. Hinggalah ke suatu puncak yang mana aku sendiri hampir kecewa sebab tak nampak tanda puncak gunung pun. Namun kami buat keputusan untuk terus mendaki sehingga berjumpa dengan satu penanda kemuncak sebagai tanda kami pernah sampai di sana. Hampir 2 jam mendaki akhirnya kami tiba juga di puncak Gunung Silam.


Puas rasanya dapat menawan puncak walaupun ianya tidaklah sehebat mendaki Gunung Kinabalu. Sekadar satu latihan untuk membiasakan badan dengan kembara di hutan. Dari puncak kami dapat melihat gugusan pulau itu dengan lebih jauh. Cuma di sini tidak ada satu pelantar khusus. Aku berdiri di atas satu batu penanda untuk bergambar dan jika berani panjatlah satu tiang pencawang kecil di situ. Damai alam tuhan...


Selepas berehat sambil makan coklat bar dan bergambar, kami mulakan perjalanan turun. Rupanya trail yang susah tu memang ada. Nasib la kami dapat jumpa untuk jalan turun. Ianya lebih dekat tetapi memang lebih mencabar. Yang bagusnya laluan ini ada disediakan tali untuk menyusur naik dan turun walaupun bukan di sepanjang laluan. Cara mudah mengembara dalam hutan cuma perlu mengikut penunjuk arah yang biasanya ditanda dengan penanda plastik belang merah putih. InsyaAllah semuanya akan selamat. Perjalanan turun cuma mengambil masa sekitar 45 minit.


Akhirnya Puncak Gunung Silam dan Menara Kayangan sudah aku tawan. Masih ada tempat menarik yang boleh kita lawati di daerah Lahad Datu iaitu Lembah Danum dan Hutan Simpan Tabin...

Next... Kita sambung lagi berjalan :)

Lenguh kaki itu biasa saja bah.

—kembara alam.

Aku dan Sabah Part 1. Sandakan di suatu petang.

Sandakan.
__________

Throwback.
1 feb 2016.

Kali ni aku diajak ke Sandakan. Tujuan sebenar bukan untuk berjalan pun. Aku diminta oleh kawan untuk menghantar dia ke Sandakan Airport untuk balik ke semenanjung. Aku yang memang nak berjalan tengok tempat orang ni pantas saja bersetuju. Sesudah kawan aku naik flight jam 3.30 petang bukan pm, aku terus bergerak mengikut papan tanda jalan menghala arah pusat bandar Sandakan.

Sesampai aku di satu kawasan yang menghadap ke laut aku pun berhenti. Kulihat banyak rumah-rumah dibina di atas air. Aku turun untuk merasai sendiri pengalaman menjejak kaki ke perkampungan air yang selama ini hanya dapat kulihat di kaca tv atau di akhbar sahaja. Kampung ini kalau tak silap aku dinamakan sebagai perkampungan air Sim-sim.



Rumah di sini dibina dengan menggunakan papan. Tetapi jalan perhubungan di antara satu rumah ke rumah yang lain telah dibina dengan jalan atau jambatan konkrit. Ada sebahagian kawasan telah dijadikan sebagai resort chalet dan ada juga restoran makanan laut. Memang best kalau dapat makan seafood di atas permukaan laut yang terbentang luas. Heaven... Cuma kehadiran aku sedikit mengundang rasa pelik di kalangan penduduk setempat. Mungkin diorang perasan aku orang luar dengan gaya yang agak berbeza mungkin.


Selepas tu aku teruskan perjalanan menuju ke pusat bandar. Dekat saja hanya beberapa minit sebab Sim-sim itu berada betul-betul di tepi pinggir bandar. Masuk ke pusat bandar Sandakan aku sengaja meronda untuk melihat suasana kehidupan di sini. Tidaklah jauh beza. Bandarnya hidup, ramai orang walau terdiri dari pelbagai jenis bangsa yang aku tak dapat bezakan identiti. Aku parking kereta dan berjalan bermula dari Pasar Besar Sandakan, kemudian aku mula menjelajah setiap ceruk.



Di sini ada saja shopping complex, pasaraya dan rangkaian kedai yang pada aku setaraf dengan bandar di semenanjung. Aku sempat singgah di pasar jualan bundle, esplanade dan gerai makan menghadap laut serta dataran jalan tempat anak muda berkumpul sambil cari perhatian dengan bermain skatesboard. Aku cuba mencari kedai yang menjual beg kerana aku nak beli backpack yang lebih sesuai untuk travel. Namun tiada kedai yang menawarkan beg seperti yang aku cari. Kalau ada pun memang yang betul-betul cokia lokal. Brand saja North Face, Deuter tapi design keras macam beg sekolah.


Tapi pemandangan di sini sangat cantik dan santai. Aku abadikan sedikit pic yang aku ambil sebagai kenangan dan imbasan memori aku untuk suatu masa nanti. Bukti yang dulu aku pernah sampai ke bumi ini. :)